Malam Pertama Di Alam Kubur

Nombor Isu:

104

Tarikh Terbit:

Jul, 2017

Jumlah Muka Surat:

104

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Yang pertama selalunya istimewa. Misalnya saat disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sebelumnya dijaga perhubungan mereka sebelum diakadkan, disahkan mengandung anak pertama, kali pertama melalui saat-saat susah payah membawa kandungan yang semakin hari semakin sarat, kali pertama bersalin dan sebagainya. Pengalaman kali pertama begitu bermakna bagi setiap daripada kita.

Namun lain pula halnya apabila disebut malam pertama di alam kubur. Bunyinya sahaja sudah menakutkan. Kubur itu sahaja sudah dianggap seram, apatah lagi jika berada di sana pada waktu malam! Berseorangan!

Boleh jadi kerana tidak ada sesiapa yang boleh menceritakan pengalaman mereka kali pertama sebagai jenazah semasa di kubur. Kalau tahu, boleh juga dibuat persiapan lahiriah seperti membuat persiapan ingin melahirkan anak di bilik bersalin.

Namun hakikatnya, sudah ada ‘soalan bocor’ yang akan ditanya oleh malaikat Munkar dan Nakir. Cumanya, lulus atau tidak bukan bergantung pada sejauh mana kita mengingati jawapan kepada soalan tersebut, tetapi bekal amalan yang dibawa bersama itulah yang membantu.

Bermula dengan berita kematian lagi, itu cukup menjadikan kita terduduk, berfikir dan merenung tentang diri. Berita kematian boleh merubah suasana hati. Setiap orang pasti terkesan dengan berita kematian. Namun mereka terbahagi kepada dua golongan.

Pertama, kumpulan yang mengingatinya kemudian menyimpan di hati dan fikiran, lantas membibitkan kesedaran yang berterusan. Kedua, kumpulan yang merasakan kesedihan, namun dimamah masa, semuanya segera lenyap. Dia kembali dengan kehidupan yang jauh daripada Tuhan. Terkesan di hatinya cuma sejenak. Sayang, dia mensia-siakan kesempatan yang diberi secara percuma.

Solusi 104 kali ini tampil sebagai medan muhasabah khususnya berkenaan nasib diri di alam selepas kematian. Inilah stesen pertama sebelum kita menemui hari yang dijanjikan Allah sebagai hari pembalasan. Nasib kita di alam ini, ditentukan dengan bagaimana kita membina kehidupan di dunia.

Artikel Menghitung Nasib di Alam Kubur dan Sketsa Alam Kubur tulisan ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman menarik untuk dihadam. Tidak kurang hebat juga artikel-artikel lain tulisan kolumnis yang berwibawa dengan bidang
masing-masing.

Isu-isu bulan ini

Agar Kubur Menjadi Taman-taman Syurga

Mati itu pasti bagi setiap makhluk yang bernyawa. Hidup kita di dunia ini hanyalah pinjaman yang sementara. Mungkin ketika kita hidup, ramai kawan sentiasa di sisi. Pengikut di laman sosial juga ribuan banyaknya. Namun saat meninggal dunia kelak, tiada sesiapa lagi akan berada di sisi kita. Sendirian tidak berteman menanti detil pembalasan.

 

Sistem Solat Membentuk Tingkah Laku Manusia

Imam al -Ghazali menyebutkan bahawa tingkah laku manusia dibentuk oleh persekitarannya. Sistem termasuk persekitaran. Apabila sesuatu sistem itu telah menjadi budaya, tingkah laku manusia akan berlaku secara spontan. Ertinya sistem yang baik akan membentuk tingkah laku manusia.

Takdir Tertulis Di Alam Rahim

Alam rahim ialah proses perpindahan pertama yang berlaku iaitu dari tulang sulbi si bapa ke dalam rahim seorang ibu. Alam yang pertama dihuni manusia di muka bumi, iaitu ketika berada di dalam kandungan ibu. 

 

Umpama Makan Dengan Tujuh Perut

Orang beriman diumpamakan sebagai orang yang makan dengan satu perut sahaja iaitu dalam keadaan yang tidak gelojoh. Hal ini berbeza dengan golongan kafir yang diumpamakan sebagai golongan yang makan dengan tujuh perut iaitu menggambarkan kegelojohan mereka menikmati makanan.