Pesan Nabi Menjelang Wafat

Nombor Isu:

103

Tarikh Terbit:

Jun, 2017

Jumlah Muka Surat:

104

Harga:

RM10.00

Sinopsis

Mungkin kita tidak sedar, betapa beruntungnya kita hari ini. Lahir-lahir sahaja sudah Islam. Tidak perlu menempuh onak dan duri mencari agama samawi yang suci ini. Islamnya kita hari ini, hasil perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya beribu tahun dahulu. Rahmat dan cahaya Ilahi menerangi dunia tatkala Baginda dilantik menjadi utusan-Nya yang terakhir.
Islam yang memenuhi seluruh pelusuk dunia hari ini, suatu masa dahulu hanyalah agama yang dianggap kerdil dan tidak bermakna. Dianuti golongan yang lemah dan tersisih, tidak mematahkan semangat Baginda dalam dakwah. Dakwah berterusan sehingga mula menarik perhatian orang Makkah. Baginda dan para sahabat diancam, dipulau, ditindas dan diusir keluar daripada tanah kelahiran mereka sendiri.

Musuh-musuh agama Allah bukan sahaja menyerang spiritual Baginda, malah mereka cuba menyakiti batang tubuhnya. Tidak sedikit cubaan mereka untuk membunuh kekasih Allah ini. Begitu bencinya mereka kepada orang yang dianggap merosakkan kepercayaan yang telah diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi. Yang membawa kebenaran pula dituduh sebagai pemecah belah masyarakat.

Kehidupan Rasulullah s.a.w. penuh dengan tauladan dan inspirasi. Tutur katanya, bahasa tubuhnya, serta amal perbuatannya menjadi inspirasi sejati buat kita di akhir zaman. Walau tidak dapat menatap wajahnya ketika hayat di kandung badan, peganglah ajaran yang ditinggalkannya dalam setiap keadaan. Al-Quran dan al-Sunah, kita jadikan panduan.

Baginda sentiasa menyampaikan pesanan yang membekas dalam hati. Seluruh hidup Baginda menjadi sinar para sahabat sehinggalah Baginda wafat. Kata Anas bin Malik, “Pada hari di mana Nabi sampai ke Madinah, Nabi memberikan cahaya hidayah kepada seluruh Madinah. Namun, ketika mana Baginda wafat, semuanya menjadi gelap gelita.”

Solusi 103 mengangkat tema “Pesan Nabi Menjelang Wafat” supaya hubungan kita dengan Baginda kembali dekat. Hayatilah pesan-pesan terakhir Nabi sebelum wafat dalam kolum Fokus yang digarap penuh makna oleh ustaz Zul Ramli. Bacalah, hayatilah dan marilah kita semua sedaya upaya berusaha untuk mengamalkannya. Moga kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w. semakin bertambah saban hari.

Isu-isu bulan ini

Wasiat Nabi Sebelum Wafat

Antara perkara pokok yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. ialah berkaitan besarnya harga diri seorang Muslim. Memilihara nyawa, harta dan maruah merupakan antara tujuan wujudnya hukum syariat. Apabila seseorang hamba itu telah mengucapkan syahadah dan memeluk Islam, haram bagi orang Muslim yang lain untuk merosakkan kehormatannya, mengambil harta miliknya dan membunuhnya tanpa hak Allah.

 

 

Bicara-bicara Akhir Sang Kekasih

Rasulullah sentiasa mengajak umat baginda agar mengutamakan akhirat berbanding kehidupan dunia. Tarbiah Rasulullah berpaksi untuk mendidik hati agar tidak terpaut terhadap dunia. Akhirat sentiasa diutamakan. Ia bertindak sebagai pemangkin motivasi diri.

Dekat Dengan Allah Akrab Dengan Insan

Dalam usaha mendalami erti solat, marilah kita melihat hikmah yang terkandung dalam definisi solat. Kita percaya bahawa pemahaman yang sahih dapat menatijahkan solat yang sempurna. Solat adalah satu juzuk daripada keseluruhan erti ibadah. Pengertian solat pula mewakili juzuk-juzuk ibadah lain dalam Islam. Kita yakin bahawa solat bukan sekadar ritual yang terasing daripada kehidupan, tetapi mengandungi erti pengabdian kepada Allah serta fungsi khalifah Allah.

Peringkat Kehidupan Insan

Seperti kebiasaannya, beruntunglah bagi mereka yang menjadikan al-Quran sebagai teman dan sahabat. Dipegang, diselak helaian demi helaian, mencintai al-Quran, mendambakan kasih cinta sang Ilahi. Lebih beruntung bagi mereka yang membaca al-Quran, malah menghayati serta mentadabbur setiap ayat yang menyusuri lidah-lidah mereka. Merasa insaf terhadap kekurangan diri dan menyedari bahawa diri hampir kepada garisan penamat.